Jumaat, 18 April 2014

Tip Murah Rezeki Cara Islam


Rezeki itu bukanlah tertakluk kepada wang ringgit semata-mata. Ia juga mungkin hadir dalam bentuk anak-anak yang soleh, isteri yang taat, dikelilingi sahabat-sahabat yang baik, jiran yang baik serta saling menghormati dan berbagai lagi rezeki kurniaan Allah SWT.
Dengan adanya rasa syukur atas kurniaan-Nya, Allah berhak menambahkan lagi keluasan rezeki kita pada bila-bila masa dan juga berhak menarik kembali kemewahan yang telah dikecapi jika kita tidak bersyukur.
Tip #1. Menjalin silaturrahim
Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
Kita dapat lihat di sini, bahawa dengan merapatkan silaturrahim Insya-Allah, seseorang itu akan dilapangkan rezekinya. Umat Islam sememangnya amat ditegah dan dilarang memutuskan silaturrahim, kerana ia akan meninggalkan kesan buruk terhadap diri, keluarga dan masyarakat khasnya.
Tip #2. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa, telah menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta panduan mengenai beberapa perkara, termasuk mahu dimurahkan rezekinya oleh Allah . Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
Dengan menjaga kebersihan dan sentiasa bersih daripada hadas juga dikatakan punca kepada keluasan rezeki yang Allah akan kurniakan.
Tip #3. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah SWT. Ia menjadi penyebab untuk Allah SWT membuka pintu rezeki kita. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.”
(Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
Sedekah juga akan menyuburkan lagi rezeki yang diperolehi. Dengan bersedekah, harta yang diperolehi umpama sebuah pohon yang tumbuh segar dan mekar tanpa kerosakan. Jangan risau, Allah SWT akan melipatgandakan rezeki kepada pemberi sedekah. Bersedekah tidak akan mengurangi walau sedikit pun rezeki kita, malahan semakin bertambah.
Tip#4. Melazimi solat malam (tahajud dan lain-lain)
Terdapat keterangan bahawa amalan solat tahajud memudahkan kita memperolehi rezeki, meningkatkan darjat kita, menjadikan diri dihormati orang dan doanya dimakbulkan oleh Allah SWT. Solat malam yang kebiasaannya dilakukan pada sepertiga malam sangat baik dijadikan sebagai amalan rutin demi mendapatkan redha Allah SWT, kerana pada waktu itu adalah waktu yang sangat mustajab untuk berdoa, di kala suasana tenang dan sunyi, ketika insan lain sedang nyenyak dibuai mimpi.
Tip #5. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dilaksanakan sewaktu orang sedang sibuk dengan urusan duniawi (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Di dalam sebuah hadis qudsi juga ada disebutkan:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
Tip #6. Sentiasa Bersyukur kepada Allah
Setiap waktu dan ketika, kita sebagai hamba-Nya wajib bersyukur atas segala kurniaan-Nya. Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah SWT. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7)
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
Tip #7. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Al-Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau Asma’ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten 7 kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah Ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, Ya Fattah Ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa yang mengamalkan membaca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Insya-Allah.
Tip #8. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba itu dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah menyuruh kita meminta kepada-Nya, nescaya DIA akan perkenankan dan jangan sesekali bergantung harap kepada yang lain, kerana perbuatan sedemikian adalah syirik yang merupakan dosa besar.
Tip #9. Berikhtiar atau berusaha sehabisnya
Barangsiapa yang berusaha, pasti dia akan mendapat sesuatu atau memperolehi hasilnya. Perkara ini adalah sunnatullah. Dalam satu hadis sahih, dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tetapi agama hanya Allah berikan kepada orang yang dicintai-Nya sahaja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Sebagai orang beriman, tentulah kita perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada kemurahan rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang hati bacalah Al-Quran, hendak dapat anak yang baik, didiklah mereka sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat jagalah pemakanan dan makan makanan yang baik dan halal, hendak mendapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak memperolehi rezeki berkat jauhilah perkara yang haram, dan sebagainya.
Tip #10. Bertawakal
Dengan bertawakal semata-mata kepada Allah SWT, seseorang itu akan direzekikan dengan rasa kaya jiwanya. Ini bersesuaian dengan Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:
Barangsiapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi Muhammad SAW pula telah bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.”(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “Jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan